Isnin November 26, 2012
Minat Terhadap Subjek Sains & Matematik
Ditahap 28 % - Fadillah
KUALA LUMPUR: Penyelidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI) menunjukkan minat dalam Sains dan Matematik di sekolah dan
universiti ialah di tahap 28 peratus, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi
dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof.
"Kementerian mahu peratusan minat dalam
Sains dan Matematik meningkat kepada60 peratus supaya kumpulan bakat dalam
Sains, Teknologi dan Inovasi(STI) dapat diperbesarkan," katanya kepada
Bernama pada majlis penyampaian hadiah Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF) di
sini.
Fadillah menyampaikan anugerah dan geran
kepada 34 saintis dan penyelidik, sebagai mewakili Menteri Datuk Seri Dr
Maximus Ongkili, pada majlis itu.
Jumlah pemohon bagi anugerah dan geran itu
adalah terbanyak bagi tahun ini, iaitu 318 bagi geran, 140 bagi Anugerah Pendidikan
Sains dan 20 bagi Anugerah Sains dan Teknologi.
Fadillah berkata peningkatan jumlah pemohon
yang menghantar penyelidikan dan inovasi mereka merupakan satu petanda baik.
"Dengan kewujudan MTSF, ia akan menyediakan peluang kepada penyelidik
untuk diberikan anugerah. Dengan anugerah ini, penyelidik akan diiktiraf bagi
hasil kerja mereka dan akan memudahkan mereka mendapat pembiayaan, yang
merupakan satu insentif.
Beliau berkata kementerian sedang mencari
jenis sokongan dan insentif seperti yang diberikan MTSF untuk memacu Malaysia
menjadi sebuah negara STI yang maju.
"Saya
menggesa organisasi di Malaysia untuk fokus kepada penyelidikan dan pembangunan
untuk STI, daripada segi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk
memacu inovasi dan kreativiti," katanya.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment